Friday, 22 January 2016

Kita Semua Sama, Hanya Taqwa Yang Membezakan Kita

Assalamualaikum

Kerjaya sebagai doktor biasa bukan mudah bagi saya, bukan mudah bagi kebanyakan orang.
Berhadapan dengan pesakit dengan pelbagai kerenah, juga dengan doktor-doktor lain yang merasakan mereka luar biasa.

Seharian, mengadap pesakit dengan pelbagai aduan dan masalah menjadikan saya lebih bersyukur dengan apa yang saya ada. Dan saya juga menginsafi bahawa teramat kerdilnya kita.

Mungkin saya seorang doktor, tapi saya takkan bisa jadi seorang nelayan. Saya tidak tahu menebar jala, saya tidak tahu menarik pukat.

Mungkin saya seorang doktor, tapi saya tak bisa menjaga trafik lalu lintas. Pasti pincang dan simpang siur jadinya.

Mungkin saya seorang doktor, tapi saya tak sanggup berpanas mentari membersihkan longkang dan jalan raya.

Mungkin saya seorang doktor, tapi saya mungkin tidak sanggup mencuci najis, menadah urine, memandikan ibu ayah anda dihospital, tetapi jururawat penuh setia melakukannya.

Mungkin saya seorang doktor, tapi saya tidak mungkin mampu mengendalikan murid yang pelbagai kerenah, ditambah dengan ibu bapa yang tak pernah faham, dan birokrasi yang menyakitkan hati.

Mungkin saya seorang doktor, tapi saya tidak tahu untuk membaiki kereta, motor.

Alangkah mulianya anda semua di posisi masing-masing. Kita saling memerlukan.
Tidak kira dimana pun kita, apa pun kita buat, apa jua posisi kita, bos, kuli, pekerja biasa, namun disisi Allah itu tiada beza. Hanya taqwa yang membezakan kita.

Kenapa nak mendabik dada? Esok-esok mati jua. Ditinggalkan semua juga.

Terima kasih atas pengajaran demi pengajaran, pelajaran demi pelajaran dalam kuliah kehidupan ini Ya Allah.

Semoga satu satu kita kutip ibrah dimana sahaja kita berada kerana ia menjadikan kita menjadi insan yang lebih baik.

Bersihkan diri, sucikan jiwa, agar mudah hidayah Allah masuk dan meresap dalam kalbu, memimpin kita hidup kerana Yang Satu

Alangkah indahnya.

‪#‎ibrahdimanamana‬
‪#‎ilovemyjob‬
‪#‎sayadoktormuslim‬
 

No comments:

Post a Comment