Dia suamiku..
Terpanggil malam ini untuk mencoret tentang dia yang ku cinta. Agar bisa jadi kenangan, untuk ku abadikan selamanya. Tak pernah ku catatkan dimana-mana kerana aku tiada diari untuk bercerita, apa lagi mahu berkongsi dengan sesiapa. Hanya mahu abadikan tentang dia disini.
Dia suamiku..
Syukur Ya Allah 7 tahun kami melayar bahtera. Tidak sekalipun dia meninggi suara padaku, apa lagi mengangkat tangan padaku. Bersusah payah untuk ku dan anak-anak. Tak mengira letih memenuhi keinginanku dan anak-anak
Dia suamiku...
Masih terbayang air matanya bergenang saat aku kesakitan untuk melahirkan Faris Farhan. Dan air mata itu pasti hadir setiap kali mengenangkan saat itu. Alhamdulillah, Kau rezekikan kami dengan 3 orang anak, dan aku sentiasa berteka teki saat selepas bersalin, mana satu dia sapa dahulu, aku atau sikecil..terharu bila pantas aku disambutnya dahulu...cukup mengerti dan memahami kesusahan ibu ini melahirkan zuriat untuknya.
Dia suamiku...
Tempoh 2 bulan ini menguji jiwa seorang suami. Bila patah tulang tapak kakiku, terbatas segala kerja, bergerak berkerusi roda, adakalanya bertongkat. Ramadhan menyaksikan kesolehan seorang suami. Pulang kerja terus ke dapur menyediakan juadah berbuka. Tidak diizin aku menyeksa diri dengan sebelah kaki. Juga tidak mahu dia membeli juadah diluar. Bersahur pula aku hanya perlu tunggu diatas, siap tersedia juadah yang masih panas.
Dia suamiku...
Sangat kasih dan sayang pada anak-anak. Buat anak-anak sentiasa rindu padanya. Husna nak mandi dengan ayah, Faris nak main dengan ayah, Fathin pun sibuk menempel dengan ayah. Aku suka bila seisi rumah gamat dengan senda guraunya dengan anak-anak. Aku terharu dan bersyukur kerana kebahagiaan mereka, itulah kebahagiaanku.
Dia suamiku...
Tidak mengeluh dalam susah. Namun aku isterinya, aku faham luar dalamnya. Aku tahu selok beloknya. Aku rasa jerih perihnya. Sedih melihat dia keletihan. Namun tak sekali dia berhenti mencurahkan kasih sayang untuk kami.
...imbas 8 tahun yang lepas bila kami pergi kursus kahwin, kata ustaz, tugas suami menguruskan rumahtangga, isteri membantu suami. Rasulullah sediakan rumah, makan dan pakai untuk Saidatina Aisyah. Rasulullah memasak didapur, Rasulullah mengurus rumah, Rasulullah buat segala-gala yang kita sangka kerja isteri semata-mata. Dan sejak itu, sentiasa terpahat di hati abang.
Ku tanya...abang tak letihke..katanya, ini tugas abang. Abang tak kisah, ini memang tanggungjawab abang.
Dia imamku...
Ya Allah..
Lelaki ini amat baik pada isteri dan anak-anaknya...
Kau ampunilah dosa-dosanya..
Berilah taufik hidayah kepadanya..
Berilah kekuatan padanya untuk menjadi seorang ketua..
Yang akan sentiasa mengingatkan kami padaMu..
Kekalkanla hubungan kami hingga ke syurga..
Kurniakanlah kami anak-anak yang soleh solehah..
Kurniakanlah kami zuriat keturunan yang mendirikan solat...
Kurniakanlah kami anak-anak alhafiz dan alhafizah...
Syukur padaMu Ya Allah atas kurniaanMu padaku...
Terima kasih abang...
I love you Shahrul Amin bin Ibrahim @ Sulaiman..
No comments:
Post a Comment