Monday, 29 June 2015

Lelaki Bangla Juga Manusia, Malah Mungkin Lebih Mulia Dari Kita

Lelaki Bangladesh itu melangkah masuk ke bilik saya.

Assalamualaikum.

Sejuk hati mendengar sebab jarang dapat didengari jika orang kita yang masuk.

Tidak sihat. Dahulu pernah diberitahu oleh doktor di Bangladesh, dia ada kencing manis tapi hanya perlu dikawal dengan pemakanan. Setahun di Malaysia, hari ini dia mahu periksa kencing manisnya.

Gula agak tinggi, perlu ujian untuk pengesahan. Jika saya arahkan darah biasa, jumlah wang yang perlu dia bayar hampir RM200. Jumlah itu dah tentu sangat besar untuk pekerja kontrak sepertinya. Saya hadkan, sekurang-kurangnya dapat pengesahan penyakit kencing manisnya, RM43.

Sayu tengok dia mengira duit didalam poket jubah lusuhnya.

Boleh, katanya.

Maaf, ubat kami tak dapat bekalkan banyak. Perlu beli diluar. Sudah lama kerajaan Malaysia tanggung ubatan warga asing. Jika encik sah ada kencing manis, encik kena beli diluar.

Bukan mudah untuk saya menerangkan padanya. Kasihan, simpati. Si Bangladesh saban hari bermandi peluh dibawah terik mentari untuk membina bangunan kemegahan kita tetapi anak anak muda kita saban hari makin ramai yang merosakkan diri dengan perkara haram dan sia-sia.

Saya bimbang, bimbang penyakit akan memakan dirinya. Bagaimana mahu membelanjakan duitnya? Makan? Anak isteri yang jauh dikampung? Tempat tinggal?

Tapi, maafkan kami kerana kami tidak mampu. Sudah tiba masanya majikan perlu membawa pekerja ke klinik-klinik panel, biayai kos pengubatan peenyakit kronik mereka, kerana mereka pekerja yang setia.

Dan bagi kami disini, makin ramai dan ramai warga kami yang perlukan subsidi ini. Tahap.kesihatan warga kami juga makin merosot, beban kos pengubatan yang ditanggung juga makin tinggi.

Haih...

Ditelan mati bapak, diluah mati mak...

No comments:

Post a Comment