Assalamualaikum wbr
Hari ini adalah hari ketiga kita berpuasa.
3 Ramadhan 1437H.
Dah 3 malam kita sepatutnya bertarawikh. Dah banyak muka surat lembaran Al-Quran sepatutnya kita baca. Dan banyak yang sepatutnya kita sedeqahkan.
Berpuasa bagi saya sebelum bergelar ibu dan selepas bergelar ibu sangat berbeza. Ditambah dengan umur yang bertambah, terasa kelesuannya bila hari semakin menginjak senja. Azam demi azam untuk melakukan ibadat demi ibadat, tapi adakalanya saya akui, saya tewas dalam keletihan.
Dan apabila masuk hari yang baru, kembali saya memperbaharui azam. Dengan rasa kecewa yang makin berbekas kerana tidak memanfaatkan semalam yang terpaksa saya tinggalkan untuk hari ini. Saya pandang anak-anak. Saya muhasabah. Sebenarnya inilah ibadah terbesar saya mungkin. Mendidik mereka dengan kesabaran, melayan mereka dengan kasih-sayang, menunjukkan contoh yang baik untuk mereka, menegur mereka dengan kelembutan. Ya...bukan alasan untuk menambah pahala dan ibadah di bulan Ramadhan, malah anak-anak sebenarnya bonus untuk kita menambah pahala demi pahala.
Tiba-tiba saya teringatkan pengalaman berpuasa di sekolah dulu. Berbeza sekali bilamana disekolah, kami telah dijadualkan untuk bangun malam. Pihak pengurusan asrama mahu memastikan malam-malam Ramadhan dihidupkan dengan bacaan Al Quran dan solat sunat tanpa henti. Dan jadual pun dibuat di mana setiap dorm mempunyai waktu masing-masing untuk bangun dan berqiamullail.
Ah...paksaan yang sungguh membahagiakan. Membuka peluang pada siapa yang tidak pernah melakukannya. Bermunajat di malam sunyi. Hanya kita dan DIA. Keheningan dan kegelapan malam tidak sedikit pun memalitkan rasa takut di hati saya pada ketika itu. Seakan terdengar gema bacaan Al-Quran di surau asrama kami pada ketika itu. Dan sungguh...terasa hidupnya malam-malam Ramadhan di sekolah saya pada waktu itu.
Ada juga sahabat yang kekok sungguh untuk bangun malam. Tetapi dengan didikan dan walau asal dalam keterpaksaan, akhirnya ia menjadi amalan, tabiat yang baik. Tidak nantikan Ramadhan baru hendak qiamullail. Alhamdulillah.
Kembali ke dunia nyata saya pada hari ini. Di satu sudut, malam-malam saya terasa amat meletihkan. Hampir setiap malam si kecil 3 tahun yang masih menyusu menggerak saya untuk menyusu. Hampir setiap malam, si kakak 6 tahun bangun untuk buang air kecil. Adakala saya merengus dan membentak. Astaghfirullah. Tidak sepatutnya begitu.
Bila diam saya memerhati dan meneliti bahawa sungguh rencana Allah itu yang paling baik. Berapa kali Allah izinkan saya untuk bangun ditengah malam sunyi untuk mengadapnya? Berapa kali setiap malam Allah izin saya untuk memohon keampunan disaat orang lain masih tidur? Tidak terkira, dan itulah nikmat yang sebenar. Yang pada kebanyakan masa kita hamba tak bisa mengerti. Kita mengeluh, kita tak puas hati.
Ya Allah...
Izinkan aku bangun dimalam sunyi untukMu. Walau adakalanya berat rasa kaki yang sakit ini untuk berdiri, terimalah bisikan keampunanku ini Ya ALLAH. Bersediakanlah aku menghadapi apa jua arahMU.
Masih 27 hari berbaki. Nurul...teruskan...mengejar iman dan taqwa didalam sekolah sebulan ini. Semoga keluar kita nanti menjadi hamba yang lebih baik..
INSYA ALLAH
No comments:
Post a Comment