Friday, 15 December 2017

Qualitist

Admitted di wad di hospital kita bekerja sememangnya tak boleh elak dari fikir dan sembang hal kerja.

Masalahnya, memang akan contraction kalau keterlaluan sangat fikir pasal kerja.

Staff staff yang datang melawat siap kena sound dengan doktor pakar..dan MO oncall.

"You datang sini sembang hal apa dengan Dr Nurul? Dah dah. Jangan sembang hal kerja dengan Dr Nurul. Bagi dia rehat betul-betul. Jangan bagi dia fikir pasal kerja."😅

Walhal saya tak bagitau pun kat doktor pakar tu yang saya akan contraction kalau fikir sangat hal kerja walaupun dok terbaring sepanjang hari.

Nampak benor ke kegigihan hakak ni menjaga spital?😅

Dan...kebosanan tadi tak tahu nak baca apa, memang tak bawa apa buku pun sebab datang kerja tadi terus admitted, bosan tengok handphone, tahu apa yang saya terfikir nak baca?

Hampir-hampir mintak nurse wad bawak semua polisi yang ada kat wad ni saya nak baca satu satu. Audit santai la konon. Lepastu baru sedar, polisi ni bahan bacaan kerja. Jangan nak cari pasal.😄😊

Apa nak dikata...

#qualitist
#ilovemyjob
#akudoktorbiasa

Aleppo

Tentera kecil ibu sedang nyenyak tidur. Jarang sekali dapat ibu nikmati pemandangan ini, saat ini.

Cuti ibu berbaki 2 hari lagi. 6 hari yang telah berlalu dirasakan sangat pantas. Fokus ibu hanya kepada kasih sayang ibu. Apa mahu masak, kemana mahu dibawa berjalan, apa yang mahu kita lakukan bersama-sama.

24 jam ini bukan selamanya milik kita bersama. Ibu masih diperlukan dan memerlukan untuk bekerja. Ibu tidak segagah dan setega ibu ibu lain yang tidak pernah berkompromi persoalan anak-anak. Maafkan ibu.

Namun, cinta tanpa syarat ini sentiasa buat ibu rasa ibulah ibu terbaik dalam dunia. Apabila terima kasih anak-anak ringan dilafazkan atas setiap susah payah ibu. Terima kasih anak-anak atas kegembiraan yang dikongsi bersama. Apabila sedang duduk bersahaja anak-anak datang pada ibu dan memberi pelukan dan ciuman. Apabila anak-anak ibu membesar dalam faham pentingnya hidup untuk memberi dan sentiasa bersyukur.

Selirat fikiran, pedih hati tiba-tiba. Sebak ini tidak tertahan sejak pagi. Hairan mengapa dalam bahagia ini ada rasa sendu. Mengapa dalam ketawa ini serasa mahu menangis.

Skrin minda memutar-mutar kisah Aleppo. Tangisan, jeritan, meregut tangkai jantung. Setiap denyutan terasa sakit. Sakit kerana berpedih, bersedih untuk saudara kita di Aleppo.

Mana ibu?
Mana ayah?
Mana adik?
Mana abang?
Mana kakak?

Mana?!!!

Kita sibuk mencari keselesaan yang tidak pernah cukup. Mereka disana dilayan umpama tiada maruah. Ketakutan. Ketakutan. Ketakutan. Berperang demi mempertahankan iman. Bergadai nyawa kerana agama.

Dan kita, bila kita punya hak keselesaan, keamanan, kita jadi alpa. Amal Islam kita lupa. Sudah leka, sudah alpa. Mana syurga, mana neraka. Mana racun, mana penawar. Kita redah bahagia. Kita langgar penuh suka.

Tentera ibu...

Selamatkah bumi ini untuk kalian membesar kelak? Terpeliharakah imanmu hatta segunung ujian? Bukan kredit persekolahanmu yang ibu bimbangkan sangat. Lebih ibu bimbangkan aqidahmu. Ibu mahu anak-anak kenal DIA, cinta DIA, hidup kerana DIA, memohon bantuan kepada DIA, sentiasa bersyukur kepada DIA. Jangan sekali berpaling.

Dan..

Ibu mahu anak-anak ibu kenal dan.cinta pada Rasulullah. Turuti ajarannya, amalkan sunnahnya. Semoga syafaatnya memayungi kita disana nanti.

Saudaraku di Aleppo...

Kutitipkan doa untukmu. Dalam sedar, dalam tawa, dalam bahagiaku disini, ketahuilah bahawa aku turut berduka mengenangkanmu.

Semoga Allah mendatangkan bantuanNya, memecahbelahkan pakatan musuh-musuh kita, menggoncangkan mereka, mengalahkan mereka.

Walau apa pun ujian kita, semoga syurga milik kita semua.

InsyaAllah.

#AkuDoktorMuslim
#roadtojournalism
#ibrahdimanamana

Thursday, 14 December 2017

Jodoh

Di balkoni asrama, sambil santai petang itu bersama sahabat, kami berbual tentang jodoh.

Ini kisah 20 tahun lalu.

"Aku teringin nak kahwin dengan orang kampung. Rumahnya dekat dengan sawah padi dan pantai."

Waktu itu saya membayangkan betapa seronoknya jika dapat merasai suasana itu. Sebab saya ni kategori orang bandar. Dari kecil tinggal di kawasan perumahan. Susah sekali nak dengar bunyi kokokan ayam mahupun kicauan burung. Jauh dari laut, apa lagi sawah padi.

Mungkin waktu itu terbuka hijab. Allah makbulkan keinginan saya. Kali pertama sampai dirumah suami sewaktu telah bergelar suami isteri, rupanya ada sawah dibelakang rumah. Petang-petang pula suami bawa saya berjalan di tepi pantai yang tak sampai 10 minit dari rumah.

Dan saya terus teringat perbualan dengan sahabat saya 9 tahun yang sudah pada waktu itu dan saya tersenyum.

Alhamdulillah. Maha Baik Allah..
.

.
.

Minta, minta dan minta pada Allah. Samada didalam doa selepas solat atau bila bila dan dimana saja. HE never fail to listen.

Cuma kita ni je yang selalu lupa hakikat itu.
Sayala...

Semusim

Petang itu saya sedikit gelisah. Perbualan dengan dia sebentar tadi buat hati saya susah sekali. Dia tidak mampu bergerak banyak lagi. Kebanyakan masa hanya terbaring di katil. Dia semakin tidak mampu menanggung kesakitan penyakitnya.

"Awak dah solat?" Soalan wajib saya setiap kali berhubungan.

"Saya tak larat awak. Bangun mandi pun tak larat." Perlahan, lemah sekali kedengaran suaranya dihujung corong. Satu satu cuba dihabiskan baris kata. Sayu sekali.

Allahuakbar. Sedih sekali kedengaran. Kasihan sekali pada sahabat yang satu ini. Malam ini saya sudah mahu kembali ke Kelantan. Sungguh, tidak sampai hati saya meninggalkannya.

"Syahmi, jom ikut Kakyong. Kita gi Kuale sekejap. Abang Im tak solat lagi." Kami perlu berkejar sebelum habis waktu Asar. Mujur kami di Ipoh, hanya kurang lebih 30 minit untuk sampai Kuala Kangsar.

"Assalamualaikum".

Kami disambut oleh ayah Im. Pakcik sudah tua. Langkahnya perlahan membuka pintu. Lelah menjaga dua 'pesakit' dirumahnya. Im yang semakin lemah dan ibunya yang perlukan perhatian penuh kerana sakit tua. Dalam lelah pakcik masih tersenyum pada saya.

"Elok Nurul datang. Im tak nak bangun langsung hari ni. Lemah sangat pakcik tengok. Tapi pakcik pun tak daya nak angkat angkat dia. Pergilah tengok dia."

Saya dan adik terus ke bilik Im. Terbaring lesu tubuh yang semakin kurus itu. Mata tertutup rapat, perlahan sekali hela nafasnya.

"Assalamualaikum. Im, saya datang ni dengan adik."

Perlahan Im membuka mata, terus saya lihat ada genangan dimatanya.

"Syahmi, salam Abang Im."
"Panasnya Kakyong tangan Abang Im."

Saya lantas menyentuh hujung kaki Im. Persis doktor memeriksa pesakit. Mahu memastikan keadaan Im. Dia demam. Sejuk sekali kakinya. Saya minta Syahmi rasa dahinya, sangat panas.

"Im, awak demam panas ni. Adik saya tolong lap badan ye. Lepastu ambil wudhu sekali, solat,"

Im hanya mengangguk perlahan. Tak terdaya dia nak menolak ataupun berkata apa apa. Saya minta bantuan adik untuk demah seluruh tubuh Im sementara saya tunggu di luar dan bantu Im berwudhu. Kemudian giliran saya pula memgajar Im utk solat sambil berbaring.

Alhamdulillah. Seketika saya dan adik biarkan Im sendirian untuk selesaikan solatnya. Saya rasa lega sekali dapat bantu sahabat saya ini. Namun saya tidak boleh lama. Sudah hampir Maghrib. Saya sudah berpesan pada Im, wudhu' nya masih ada dan dia perlu solat Maghrib.

Sebelum kami pergi, Im menahan saya. Dia cuba untuk bercakap. Dalam dengar tak dengar,"Nurul, terima kasih." Lalu saya nampak air kata Im mengalir.

"Im, jangan sedih-sedih. Im kena kuat ye. Kuat." Sebetulnya saya pun tak sanggup nak berkata banyak, bimbang saya sendiri menangis dihadapannya.

"Kami balik dulu. Assalamualaikum."

Singgah sebentar dibilik makcik dan pakcik, ziarah keduanya. Kemudian meminta izin untuk pulang.

"Terima kasih banyak Nurul. Pakcik syukur sangat Im dapat kawan macam Nurul." Mata pakcik bergenang.

"Takpe pakcik, itu tanggungjawan saya sebagai kawan."

Alhamdulillah. Terasa selesai tanggungjawab saya untuk hari ini. Sayu juga mahu meninggalkan sahabat ini. Ya Allah, jagalah dia Ya allah. Aku tak mampu buat yang paling baik. Bantu dia Ya Allah.

Tanpa sedar air mata mengalir dipipi.

#semusim