Petang itu saya sedikit gelisah. Perbualan dengan dia sebentar tadi buat hati saya susah sekali. Dia tidak mampu bergerak banyak lagi. Kebanyakan masa hanya terbaring di katil. Dia semakin tidak mampu menanggung kesakitan penyakitnya.
"Awak dah solat?" Soalan wajib saya setiap kali berhubungan.
"Saya tak larat awak. Bangun mandi pun tak larat." Perlahan, lemah sekali kedengaran suaranya dihujung corong. Satu satu cuba dihabiskan baris kata. Sayu sekali.
Allahuakbar. Sedih sekali kedengaran. Kasihan sekali pada sahabat yang satu ini. Malam ini saya sudah mahu kembali ke Kelantan. Sungguh, tidak sampai hati saya meninggalkannya.
"Syahmi, jom ikut Kakyong. Kita gi Kuale sekejap. Abang Im tak solat lagi." Kami perlu berkejar sebelum habis waktu Asar. Mujur kami di Ipoh, hanya kurang lebih 30 minit untuk sampai Kuala Kangsar.
"Assalamualaikum".
Kami disambut oleh ayah Im. Pakcik sudah tua. Langkahnya perlahan membuka pintu. Lelah menjaga dua 'pesakit' dirumahnya. Im yang semakin lemah dan ibunya yang perlukan perhatian penuh kerana sakit tua. Dalam lelah pakcik masih tersenyum pada saya.
"Elok Nurul datang. Im tak nak bangun langsung hari ni. Lemah sangat pakcik tengok. Tapi pakcik pun tak daya nak angkat angkat dia. Pergilah tengok dia."
Saya dan adik terus ke bilik Im. Terbaring lesu tubuh yang semakin kurus itu. Mata tertutup rapat, perlahan sekali hela nafasnya.
"Assalamualaikum. Im, saya datang ni dengan adik."
Perlahan Im membuka mata, terus saya lihat ada genangan dimatanya.
"Syahmi, salam Abang Im."
"Panasnya Kakyong tangan Abang Im."
Saya lantas menyentuh hujung kaki Im. Persis doktor memeriksa pesakit. Mahu memastikan keadaan Im. Dia demam. Sejuk sekali kakinya. Saya minta Syahmi rasa dahinya, sangat panas.
"Im, awak demam panas ni. Adik saya tolong lap badan ye. Lepastu ambil wudhu sekali, solat,"
Im hanya mengangguk perlahan. Tak terdaya dia nak menolak ataupun berkata apa apa. Saya minta bantuan adik untuk demah seluruh tubuh Im sementara saya tunggu di luar dan bantu Im berwudhu. Kemudian giliran saya pula memgajar Im utk solat sambil berbaring.
Alhamdulillah. Seketika saya dan adik biarkan Im sendirian untuk selesaikan solatnya. Saya rasa lega sekali dapat bantu sahabat saya ini. Namun saya tidak boleh lama. Sudah hampir Maghrib. Saya sudah berpesan pada Im, wudhu' nya masih ada dan dia perlu solat Maghrib.
Sebelum kami pergi, Im menahan saya. Dia cuba untuk bercakap. Dalam dengar tak dengar,"Nurul, terima kasih." Lalu saya nampak air kata Im mengalir.
"Im, jangan sedih-sedih. Im kena kuat ye. Kuat." Sebetulnya saya pun tak sanggup nak berkata banyak, bimbang saya sendiri menangis dihadapannya.
"Kami balik dulu. Assalamualaikum."
Singgah sebentar dibilik makcik dan pakcik, ziarah keduanya. Kemudian meminta izin untuk pulang.
"Terima kasih banyak Nurul. Pakcik syukur sangat Im dapat kawan macam Nurul." Mata pakcik bergenang.
"Takpe pakcik, itu tanggungjawan saya sebagai kawan."
Alhamdulillah. Terasa selesai tanggungjawab saya untuk hari ini. Sayu juga mahu meninggalkan sahabat ini. Ya Allah, jagalah dia Ya allah. Aku tak mampu buat yang paling baik. Bantu dia Ya Allah.
Tanpa sedar air mata mengalir dipipi.
#semusim
No comments:
Post a Comment