Tentera kecil ibu sedang nyenyak tidur. Jarang sekali dapat ibu nikmati pemandangan ini, saat ini.
Cuti ibu berbaki 2 hari lagi. 6 hari yang telah berlalu dirasakan sangat pantas. Fokus ibu hanya kepada kasih sayang ibu. Apa mahu masak, kemana mahu dibawa berjalan, apa yang mahu kita lakukan bersama-sama.
24 jam ini bukan selamanya milik kita bersama. Ibu masih diperlukan dan memerlukan untuk bekerja. Ibu tidak segagah dan setega ibu ibu lain yang tidak pernah berkompromi persoalan anak-anak. Maafkan ibu.
Namun, cinta tanpa syarat ini sentiasa buat ibu rasa ibulah ibu terbaik dalam dunia. Apabila terima kasih anak-anak ringan dilafazkan atas setiap susah payah ibu. Terima kasih anak-anak atas kegembiraan yang dikongsi bersama. Apabila sedang duduk bersahaja anak-anak datang pada ibu dan memberi pelukan dan ciuman. Apabila anak-anak ibu membesar dalam faham pentingnya hidup untuk memberi dan sentiasa bersyukur.
Selirat fikiran, pedih hati tiba-tiba. Sebak ini tidak tertahan sejak pagi. Hairan mengapa dalam bahagia ini ada rasa sendu. Mengapa dalam ketawa ini serasa mahu menangis.
Skrin minda memutar-mutar kisah Aleppo. Tangisan, jeritan, meregut tangkai jantung. Setiap denyutan terasa sakit. Sakit kerana berpedih, bersedih untuk saudara kita di Aleppo.
Mana ibu?
Mana ayah?
Mana adik?
Mana abang?
Mana kakak?
Mana?!!!
Kita sibuk mencari keselesaan yang tidak pernah cukup. Mereka disana dilayan umpama tiada maruah. Ketakutan. Ketakutan. Ketakutan. Berperang demi mempertahankan iman. Bergadai nyawa kerana agama.
Dan kita, bila kita punya hak keselesaan, keamanan, kita jadi alpa. Amal Islam kita lupa. Sudah leka, sudah alpa. Mana syurga, mana neraka. Mana racun, mana penawar. Kita redah bahagia. Kita langgar penuh suka.
Tentera ibu...
Selamatkah bumi ini untuk kalian membesar kelak? Terpeliharakah imanmu hatta segunung ujian? Bukan kredit persekolahanmu yang ibu bimbangkan sangat. Lebih ibu bimbangkan aqidahmu. Ibu mahu anak-anak kenal DIA, cinta DIA, hidup kerana DIA, memohon bantuan kepada DIA, sentiasa bersyukur kepada DIA. Jangan sekali berpaling.
Dan..
Ibu mahu anak-anak ibu kenal dan.cinta pada Rasulullah. Turuti ajarannya, amalkan sunnahnya. Semoga syafaatnya memayungi kita disana nanti.
Saudaraku di Aleppo...
Kutitipkan doa untukmu. Dalam sedar, dalam tawa, dalam bahagiaku disini, ketahuilah bahawa aku turut berduka mengenangkanmu.
Semoga Allah mendatangkan bantuanNya, memecahbelahkan pakatan musuh-musuh kita, menggoncangkan mereka, mengalahkan mereka.
Walau apa pun ujian kita, semoga syurga milik kita semua.
InsyaAllah.
#AkuDoktorMuslim
#roadtojournalism
#ibrahdimanamana
No comments:
Post a Comment