Tuesday, 20 November 2018

The Good Old Days

Assalamualaikum dan Selamat Pagi.

Pagi ini auranya sedikit lain. Seawal pagi hujan renyai-renyai sudah mula membasahi bumi Manjung. Didalam keseorangan ini bagai terimbau segala kenangan lama. The Good Old Days.

Saya lantas membuka laptop. Memilih lagu-lagu nasyid In-team dan UNIC untuk halwa telinga sambil berehat. Untuk tempoh ini, saya tidak boleh terlalu aktif, mesti rehatkan diri.

Wangi bau rumput yang dibasahi hujan sangat menyamankan. Pagi ini tidak terdengar pula kicau burung. Mungkin jauh merai sejuk bumi.

The Good Old Days. Saya terkenang saat di universiti dahulu. Syukur, saya dikurnia sahabat sejati, yang sehingga kini apabila memandang dan berbicara dengan mereka akan buat saya mengingatiNYA. Akan menarik kembali diri yang makin jauh. Akan menyegarkan tubuh yang lesu, menaikkan semangat yang luntur.

Subuh...

Antara waktu yang sentiasa dinanti. Akan sentiasa ada sahabat setia yang mengejutkan untuk kami sama-sama bertahajud. Susur gajah kami lalui bersama didalam keheningan pagi yang mendamaikan. Laluan itu menjadi saksi bahawa kami selalu hadir, selalu ingin menghampiriMu, selalu ingin dekat denganMu.

Padang golf indah terbentang juga jadi saksi. Celoteh anak gadis merehat minda sambil memerhati. Saat dimana kami saling meluah rasa, adakala berlari anak, adakala menaiki basikal mengelilingi padang golf kecil itu. Bagai terdengar liuk lalang dan pepohon kecil disapa angin. Sesekali kicau burung mengiringi riadhah kami. Tiada lelah dirasa, hanya bahagia.

Di universiti, saya saksi banyak kisah cinta. Cinta terlarang, cinta dirancang, hati yang merahsiakan cinta, hati yang jatuh dan menjadi lemah akibat cinta. Kecewa, bahagia, derita. Mengenangkan itu buat saya tersenyum sendiri. Apabila melihat waktu sekarang dimana adik-adik saya baik lelaki atau perempuan yang pernah menangis dihadapan saya, yang pernah dibelenggu oleh soal hati, kini sangat bahagia sekali. Alhamdulillah.

Juga melihat adik-adik yang kecewa kerana cinta yang ditolak sedang sekarang telah begitu bahagia sekali dengan jodoh masing-masing yang telah lama menunggu mereka dahulu.

:)

Hidup ini, tidak selamanya kita akan dibawah. Tidak selamanya juga kita akan selalu di atas. Sengaja ALLAH beri laluan yang tak mudah agar kita lebih berusaha. Agar kita lebih menghargai apa yang kita ada disekeliling kita.

Hiduplah dengan terbaik untuk waktu ini, jam ini, hari ini kerana kita tidak tahu samada masih ada ‘kemudian’, ‘nanti’ atau esok untuk kita. Percaya bahawa kita adalah yang terbaik kerana dalam banyak roh meminta untuk kedunia, Allah telah memilih kita. Bukan untuk menjadi penderhaka, untuk menjadi hamba yang setia.

Sahabat,
Apabila kau rasa dunia ini amat melelahkan, berhentilah seketika. Renunglah sedalamnya. Kemana tuju kita? Siapa atau apa matlamat kita? Apa janji kita dulu pada Dia?

Ingat, setelah kabus berlalu pasti cerah kembali. Yakinlah.

Haish ..... sudah terlalu panjang celoteh ini. Sedang saya sendiri jauh dari kesempurnaan. Masih tercari-cari makna dan tujuan. Masih tercari-cari kehendak dan halatuju.  Masih mencari-cari apa yang saya mahu.

Semoga walau apa jalan cerita kita, pengakhiran kita BAHAGIA. Bahagia yang hakiki.

AMIN

No comments:

Post a Comment