Monday, 21 September 2015

Tak Baik Tau Menipu, Allah Marah

Adakalanya keletah pesakit buat saya tersenyum

"Doktor, saya sakit kepala, rasa nak demam. Perut pun sakit sesikit. Sakit badan-badan ni. Dulu pernah jatuh, lepas tu asyik sakit sakit badan."

Dia sambung lagi..

"Err doktor, saya nak MC ye".

"Hang ni kalau ya pun, berlakon la lebih sikit. Janganla auta saya dengan sakit pelik pelik sampai pening kepala saya nak carik diagnosis. Bagila kita sama-sama puas hati. Hang puas hati dapat MC, saya puas hati bagi MC pada orang yang 'sakit'."

Tersengih kambing student uni ni.

"Saya terlewat bangun tadi doktor. Kalau tak dapat MC nanti kena dengan lecturer."

See...

Kebanyakan masa saya boleh tahu jika pesakit menipu, tapi saya pejamkan mata sahaja. Biarlah dia menjawab dengan Allah aje. Dengan saya, saya anggap settle.

Adik Ini Mengajar Saya Erti Syukur

Saya teringat lagi pesakit tadi

Adik lelaki berumur 17 tahun itu melangkah longlai. Sopan gayanya. Redup matanya. Nampak tak sihatnya.

"Ya adik, apa masalahnya harini?"

"Tak larat doktor".

Terlalu tak spesifik.

"Adik demam? Batuk? Selsema? Atau ada muntah dan cirit birit?"

"Rasa nak demam doktor. Tak demam kot. Rasa tak larat ja. Ada batuk jugak sikit, sakit tekak".

38°C. Agak tinggi suhu badannya. Demam budak ni.

"Adik kerja ke?"

"Saya belajar kat kolej kat sini. 8 pagi sampai 5 petang. Malam start 8 malam sampai 12 malam saya kerja. Tu yang rasa tak larat. Tapi tak rasa demam".

Kata adik lagi, dia terpaksa kerja sebab mak tak cukup duit nak bayar biaya dia makan. Dia duduk hostel, RM 150 sebulan, makan minum sendiri. Mak kata, jangan dok rumah sewa, nanti bercampuq dengan macam-macam orang tak kena kawan, kita terikut.

Orang susah adik ni. Tapi sangat gigih berusaha. Jiwa saya tersentuh.

Alangkah beruntungnya kamu, kamu, kamu dan kamu yang semua ada didepan mata. Tapi kita ni suka take for granted kan. Apa yang ada tu kita tak pernah nak syukuri.

Emm...kenapa entah sebak kenangkan adik tadi. Laluan kita mungkin berbeza tapi tujuan kita satu. Liku-liku hidup kita juga berbeza-beza. Bila sesekali Allah tegur dengan hadirnya insan-insan begini, barulah rasa syukur itu terpupuk kembali.

Semoga adik ini berjaya. Sesiapa pun ibunya, saya sanjung cara makcik mendidik anak.

Silalah Merokok Jika Suka Nak Dapat Stroke

Kencing Manis. Darah Tinggi. Kolesterol

Lengkap, cuma jantung belum lagi.

Uncle itu masuk setelah nombor dipanggil. Sebaik sahaja dia membuka pintu, mata saya terpandang dan terus memandang poket baju sebelah atas kemeja uncle.

Duduk sahaja Uncle, saya ambil kotak itu dari poketnya.

"Uncle, datang jumpa doktor ini hari lagi berani bawak rokok aaa. Ini kalau budak kecik doktor kasik rotan ni."

Gaya macam gangster tapi tidak sebenarnya. Ini cara halus saya untuk tegur pesakit yang lebih tua. Gurauan dan senyuman. Lepas tu saya lengkapkanlah perisa.

Uncle tersengih-sengih dan berkali-kali meminta maaf.

P/s pasti pernah dengar orang yang dapat stroke tapi takde darah tinggi atau penyakit lainkan. Rata-rata adalah perokok. Salur darah menjadi sempit dan tersumbat kesan daripada merokok. Darah menjadi terlalu pekat dan perjalanan darah menjadi tak lancar. Oksigen nak sampai ke otak pun bercinta sebab traffic jam.

Janganla merokok ye..

Ya, Mereka Bukan Berbangsa Melayu Tetapi Mereka Kawan Baik Saya

Rindu pada seorang kawan lama

Masa houseman, tidur sebilik di bilik oncall, sekatil, dialah selalu tolong belikan makanan, cover saya bila saya tak larat sebab waktu itu saya sarat mengandung.

Juga kawan-kawan houseman seangkatan waktu itu. Yang bila ternampak makanan kegemaran saya di kantin, pasti menelefon tanya saya jika saya mahu, yang pasti akan bertanyakan saya jika saya perlu pertolongan, yang sanggup buat oncall back to back sebab nak bagi saya puas beraya.

Mereka kawan saya berbangsa Cina dan India. Ada lelaki dan juga perempuan (yang tidur sebilik masa oncall tu perempuan ye ) dan persahabatan yang terbina sangat ikhlas.

Ada apa ye dengan perbezaan kaum?

Saya nampak keharmonian dan kepelbagaian. Saya lebih suka bekerja ditempat yang bukan semua Melayu Islam sahaja, takut susah nak dapat cuti raya.

Truly, diwaktu itu, yang membezakan kami hanya warna kulit dan bahasa ibunda. Yang lain, bagi saya, tiada beza, saling bekerja sama, saling mengambil berat. Tambah-tambah masa saya, hanya saya yang berkahwin dan mengandung..lagila dimanjakan kawan-kawan. Bukan sebab saya mengada-ngada dan lemah, tapi sebab kawan-kawan saya sangat baik hati.

Ala...sedih pulak teringat kat korang. Kebanyakan mereka takde FB. Kiut pulak rasa.

Kitakan Bangsa Malaysia, Siapa Kata Kita Berbalah?

Makcik dan pakcik membawa.cucu yang tidak sihat. Dari alamat yng tertera, nyata makcik dan pakcik dari kawasan perumahan elit.

Selesai pemeriksaan, sambil saya menulis ubat dan surat rujukan, seperti biasa, saya suka beramah mesra dengan pesakit.

Rupanya, rumah dikawasan elit itu bukan rumah makcik dan pakcik. Mereka di beri tinggal percuma disitu oleh bekas majikan makcik. Bil air dan elektrik semua bekas majikan makcik bayar. Yang dia minta cuma tolong tinggal dirumah dia dan jaga elok-elok rumah dia macam rumah sendiri. Majikan makcik bersungguh-sungguh nak hulurkan bantuan tempat tinggal ini sewaktu makcik dan pakcik diuji musibah dulu.

Dan...

Majikan makcik ini berbangsa Cina.

Sungguh terharunya saya. Siapa kata kita berbalah? Malah kita saling menyayangi sebab kita bangsa Malaysia.

Tak Perlu Kata Apa-Apa....Senyum

Uncle itu masuk dengan muka siru. Serius dan agak menakutkan.

Sepatah ditanya, sepatah yang jawab. Ringkas. Gelisah juga saya dibuatnya bila tak dapat rapport dengan patient.

Sambil memeriksa, saya lihat wajah uncle. Saya tak nampak riak bengis diwajahnya. Juga tiada tanda kemurungan diwajahnya. Tapi kenapa dia terlalu serius?

"Uncle, you buat muka garang macam tu saya takutla. Cuba senyum sikit, baru hati senang, sakit pun hilang".

Dan Uncle terus tersengih lebar dan mengomel pula.

Cover gigi rongak rupanya. Ihiks.

Maafkan saya uncle. Tapi lesung pipit uncle yang dalam terserlah bila uncle senyum, mungkin orang tak akan perasan gigi uncle yang sebegitu.

Comel. Hehehe. Ingatkan kenapala serius sangat.

Hiba Hati Seorang Ayah

Rutin lawatan kencing manis dan darah tinggi.

Pakcik kelihatan bersahaja. Riak muka tiada perasaan, seolah-olah kosong jiwanya.

Sambil memeriksa dan selesai menceritakan pakcik tentang keputusan darahnya saya bertanyakan dia.

"Pakcik tak sihat ke? Muka pakcik macam ada masalah".

Air mata seorang ayah terus mengalir. Pakcik baru sahaja kehilangan seorang anak. Anak pakcik meninggal, tanpa siapa pun dapat beritahu puncanya. Satu-satunya anak perempuan pakcik dan sangat rapat dengan pakcik.

Pakcik keluarkan telefon bimbitnya dan satu-satu discroll gambar allahyarhamah.

Saya tak terkata. Saya biarkan ayah itu melepaskan perasaannya. Mungkin ini kali pertama dia menitiskan air mata kerana katanya si isteri masih tidak dapat menerima suratan ini.
"Pakcik, biar apapun puncanya, ternyata Allah lebih sayangkan dia. Pasti arwah mahu pakcik dan makcik teruskan hidup dengan sihat dan bersemangat. Kita doakan dia semoga jadi kesayangan Allah, kita yang hidup ini kena terus dan terus cari redha Allah. Takpe pakcik, lepaskanlah hari ini. Saya faham. Sebab lepas ini pakcik kena kembali kuat untuk makcik".

Usai pakcik keluar dari bilik, saya tidak dapat menahan diri, saya menangis teresak-esak.

Maafkan saya pesakit-pesakit yang masih menunggu. Adakalanya saya tidak boleh melepaskan pesakit saya begitu sahaja. Saya bukan sahaja mahu badan mereka sihat, saya juga mahu hati dan jiwa mereka sihat.

Terima kasih Allah atas peluang-peluang ini. Seribu satu ibrah yang dapat kukutip untuk jadi pedoman aku terus mencari cintaMu