Petang tadi saya merawat seorang pesakit. Pesakit yang datang dengan seribu keluhan. Pesakit yang bukan sahaja mahukan ubat, tetapi lebih pada sokongan untuk meneruskan hidup.
44 tahun, lelaki Melayu. Lebih kurang 2 tahun yang lepas kemalangan jalan raya yang mengakibatkan rosak teruk tempurung lutut kanan dan patah tulang Femurnya. Sejak itu, dia seperti hilang arah. Marah pada takdir, kecewa dengan nasib.
Sepintas teringat saya pada arwah sahabat. Lebih 10 tahun yang lalu, saya kenal seorang sahabat. Secara kebetulan kerana sahabat itu adik ipar jiran mak bapak saya, dan memerlukan rawatan di Hospital Kubang Kerian.
Diduga menghidap kanser hati tahap akhir, pada usia 28 tahun, arwah kelihatan seperti orang hilang pedoman. Dan secara tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk membantu arwah.
Tempoh yang singkat saya manfaatkan. Dari tak mengenal sejadah dan kiblat, arwah mula taat pada solat. Tak perlu lagi diingatkan untuk solat. Dahulu, raut wajah yang keruh itu dah semakin berseri. Tidak lagi arwah meratapi nasib diri, tapi terus kelihatan bersemangat untuk meneruskan hidup.
Saya terharu, sedih juga kerana kami sama-sama tahu saat untuk kami terus bersahabat dah hampir habis. Arwah semakin tenat. Namun Alhamdulillah sehingga ke saat akhir hayatnya hanya wudhu dan solat yang arwah ingat.
Dalam tangisan mengiringi pemergian arwah, saya bersyukur, sebuah perjalanan hidup singkat yang sungguh bererti untuk saya dan arwah. Memberi ruang dan peluang untuk lebih mengenal Dia.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment