Monday, 16 June 2014

Mencari hikmah disebalik musibah.

Hari ke 6 kehidupan luar biasa. Pergerakan terbatas, jiwa meronta, sakit sini sana. Hidup bergantung pada alat dan manusia.

Hanya tapak kaki, sedikit nikmat Allah tarik terasa seluruh kemudahan juga ditarik. Asalnya jiwa merengkam. Terasa diri tak berguna. Hanya sebelah kaki tidak dapat berfungsi sempurna aku sudah hampir mengalah.

Hari ke 6 kehidupan luar biasa. Kerusi roda ku tolak rodanya makin laju. Laluan sempit dan 'cornering' hampir mantap. Ku jadikan diri berguna, sekurang-kurangnya lahir perasaan berguna pada diri, tidak sedih, menyalahkan diri, mengeluh sendiri.

Teringat perbualan dengan Kak Yanty semalam. Tertarik, mendalam kesan yang timbul dalam diri. Kata Kak Yanty, tangankan ada. Picit2 la abang tu. Yela...aku hanya patah tapak kaki kiri. Aku ada kaki kanan, aku ada kedua belah tangan yang sempurna berfungsi (Alhamdulillah) dan otak yang waras. Seharusnya aku maksimumkan kemampuan anggota sempurna anugerah Allah ini. Bukan hanya duduk mengenang malang diri.

Hari ke 6 kehidupan luar biasa. Ramadhan tinggal 11 hari sahaja lagi. Kenangkan Ramadhan, hati sayu, mata bergenang, kerana risau akan diri yang alpa. Dapatkah aku bertemu Ramadhan kali ini? Dapatkah aku lalui Ramadhan ini, memaksimakan setiap ruang dan peluang? Aku tidak perlu ke tempat kerja. Siang hari seharian dirumah tanpa anak-anak. Tiada alasan lagi Nurul. Basahi lidahmu dengan zikrullah. Penuhi masamu dengan kitabullah, rebut rahmat dan redha Allah. Ya...Allah memberi aku peluang ini. Tiada fokus lain, hanya semata-mata untukNYA. Bantulah aku memanfaatkan peluang ini Ya Allah.

Hari ke 6 kehidupan luar biasa. Sedikit semangat tersuntik dalam diri. Usah diratap musibah kerana ia membuka jalan menuju Allah. Akan ku selak pintu hikmah, agar kulalui ujian ini dengan tabah. Hati, bersabarlah, kita membina taqwa dan iman, memohon agar diangkat darjat disisiNya, agar sentiasa kita bersedia bila dijemput pulang.

Bertabahlah!!!

1 comment: