Tuesday 9 October 2018

Lumpuh Seumur Hidup

Assalamualaikum dan Selamat Petang

Santai petang ini saya terkenangkan pemandangan pagi tadi semasa dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah dan pusat asuhan. Dalam bahagia senyuman seorang anak kecil terdetik kebimbangan yang bersangatan dihati saya.

Kisah ini berlaku hampir 8 tahun lepas. Ketika itu saya bertuhas di Jabatan Anaestesiologi sebagai doktor bius. Banyak sekali kes-kes yang datang kepada kami yang memberi keinsafan dan pengajaran untuk kami. Salah satunya kes ini.

Seorang ayah memandu motosikal dipetang hari. Sekadar santai-sangai petang untuk membeli kuih untuk makan petang. Dihadapan si ayah, didalam bakul tersengih riang seorang anak kecil. Bahagia sekali mereka berdua. Bersiar-siar didalam taman perumahan sahaja, tidak perlu topi keledar, tidak perlu segala alat keselamatan.

Malang tidak berbau. Lopak dijalan tidak disedari oleh si ayah. Maka melambungla kedua-dua anak dan ayah ditimpa celaka kemalangan jalan raya. Si ayah dan anak tidak sedarkan diri dan dilakukan scan otak dengan segera. Si ayah koma beberapa hari di ICU, Alhamdulillah si anak lebih cepat sedarkan diri. Setelah beberapa hari kami para doktor menyedari bahawa tiada pergerakan langsung pada kedua-dua belah kaki si anak kecil 3 tahun itu. Setelah membuat pemeriksaan teliti, ternyata tiada tanda kedua dua belah kaki anak kecil itu menerima rangsangan dan lemah. Scan tulang belakang segera dilakukan dan didapati bahawa terdapat keretakan teruk pada tulang belakang anak kecil ini dan jika pembedahan adalah amat berisiko untuk dilakukan. Doktor pakar pada ketika itu menyatakan bahawa anak ini akan lumpuh seumur hidup.

Pada waktu itu si ayah masih belum sedarkan diri. Setelah berapa ketika barulah si ayah sedar dari koma namun ingatan terhadap kejadian yang berlaku begitu samar-samar. Kami didalam ICu mengambil masa untuk memaklumkan si ayah tentang keadaan anaknya. Atas permintaan si ibu, setelah si ayah kelihatan stabil, barulah kami breaking the bad news.

Meraung si ayah menyebut ucapan maaf berkali kali kepada si anak. Anak perempuan kecil, comel sekali, yang tidak memgerti apa apa, tidak mengetahui bahawa dia telah lumpuh, untuk seumur hidup. Kami disitu turut merasa sayu. Perasaan saya berbaur. Sebahagiannya ada rasa marah pada si ayah kerana tidak mengutamakan keselamatan anak. Selebihnya pilu sekali memgenangkan nasib anak kecil ini bila dia semakin meningkat dewasa nanti. Lumpuh separuh badan.
.
.
.
Ibu ayah, jangan diambil ringan soal keselamatan anak-anak. Dont take it for granted. Beringat sebelum terkena. Jika sudah terkena, menangis air mata darah sudah tidak berguna lagi. Apapun, selain ikhtiar kita, sentiasalah berdoa memohon pemeliharaanNya. Dialah yang menetapkan segala malang dan baik dalam hidup kita. Dan atas apapun yang berlaku, disisiNya itulah yang terbaik. Hanya kita ada masa perlu benar-benar meneliti untuk memahami hikmah disebalik setiap kejadian.
.
.
.
Ingatan saya kembali kepada anak tadi. Didalam bakul motosikal ayah, berdiri megah sambil ketawa riang. Si ayah juga tersenyum bahagia. Sesekali dijengah jengah anaknya dari tepi. Sesekali melelong motor mereka ke kiri dan ke kanan. Hanya ayah yang memakai topi keledar. Tiada apa apa pada si anak. Allah, peliharalah.

Peringatan untuk diri ini yang sering lupa.

#ibrahdimanamana