Sunday 4 October 2015

Saya Doktor Biasa : Bersyukur Dengan Apa Yang Ada

Di satu sudut di bahagian menunggu klinik...

Terperasan dari tadi ada seorang aunty India berseorangan. Seperti menunggu seseorang. Tidak dapat berfikir atau bertanya banyak, saya meneruskan kerja.

Kebetulan...

Aunty masuk bilik saya apabila nombornya dipanggil. Setelah selesai rawatan, saya bertanyakan perihalnya.

Aunty sudah kematian suami, anak-anak pula jauh di perantauan. Aunty tiada telefon bimbit, juga tiada duit yang banyak.

Aunty mari dengan siapa? Nanti mau pulang dengan siapa?

Kebetulan, ada jiran yang baik hati mahu tumpangkan. Tapi bila balik, aunty perlu tunggu, tidak tahu sampai pukul berapa jiran itu akan ambil. Hendak naik bas, tidak cukup duit, apalagi teksi.

Sebak.

Aunty berjalan perlahan keluar dari bilik. Mahu ambil ubat di farmasi. Hati saya tidak senang. Sungguh kasihan pada aunty. Dalam kepayahan, patuh sungguh pada arahan doktor dan pengambilan ubat.

Nota RM20 yang telah saya asingkan pagi tadi saya keluarkan. Dan doa saya pada Allah pagi tadi, mungkin inilah jawapannya. Saya mohon, Allah pertemukan saya dengan sesiapa sahaja untuk saya bantu hari ini, dan saya mohon Allah permudahkan urusan saya seterusnya.

Aunty tadi menangis. Saya terharu dan sangat bersyukur. Susah nak diceritakan kepuasannya.
Semoga selamat perjalanan aunty pulang kerumah. Saya booking satu teksi untuk aunty. Dan saya rasa amat bahagia.

(Sekeliling kita, begitu ramai orang susah dan memerlukan. Doktor, janganlah terus menyalahkan pesakit yang defaulted, siasat punca dan sebab, kerana ramai yang tak mampu untuk sampai ke hospital begitu kerap. Tiada kenderaan, tiada wang yang cukup, tiada saudara terdekat untuk membantu)

Dan kita yang ada semua ni, banyak banyaklah bersyukur.

Alhamdulillah

‪#‎ilovemyjob‬
‪#‎sayadoktorbiasa

No comments:

Post a Comment