Tuesday 24 January 2017

Bila Dunia Keterlaluan Kita Kejar

Assalamualaikum wbr

Hari ini saya sedikit lelah ditempat kerja. Menyiapkan kerja yang bertimbun. Kerja yang tak betah siap. Kerja yang saban hari tak bisa habis. Adakala terasa berkatnya kerja bila hingga tiada masa untuk bercerita ditempat kerja. Namun adakalanya terasa kosong bila dalam keletihan bekerja kita lupa untuk mengingatiNya. Tinggal dhuha, tinggal solat awal waktu, tinggal segala rasa cinta dan rindu padaNya.

Letih, bila dunia ini keterlaluan sekali kita kejar. Bila hidup dalam mengejar kehendak dan kepuasan manusia. Makhluk yang tidak pernah mahu puas. Makhluk yang tidak mudah untuk bersyukur. Di tempat kerja, kita akan berjumpa dengan ramai jenis manusia. Dan kita akan membawa diri sesuai dengan siapa yang kita berurusan. Jika kita lemah, kita akan tewas dalam perjuangan. Kita akan berbalah, kita akan membenci dan dibenci, kita akan menambah musuh dan akhirnya hati kita akan rasa tidak tenang sekali. Jika kita kuat, kemenangan pasti milik kita. Merasa puas dan syukur dengan hasil setiap usaha. Sabar dengan cabaran manusia bertopengkan syaitan, teguh terus dengan rasa cinta dan sayang walaupun dibenci. Kerana kita tahu, kita bekerja kerana DIA, untuk DIA.

Berapa kali kita meletakkan kebimbangan bersangatan atas rasa takutnya kita pada manusia? Berapa kali sudah kita rasa kecewa bila definisi berjaya pada pandangan manusia itu kita tidak bisa capai?Berapa kali kita lupa dan lupa lagi bahawa hidup ini adalah berkisar tentangNYA sahaja? Bahawa hidup ini hanya berkisar tentang meraih cintaNYA.

Kerja di hospital ini, jiwa saya meronta sekali. Bila melihat ketua-ketua yang menyalahgunakan kuasa. Ketua-ketua yang mem'perhamba'kan orang bawahannya. Bila melihat orang bawahan ketakutan sekali atas kesalahan yang sedikit. Adakala sehingga lupa, hanya DIA yang perlu kita takutkan. Hanya DIA. Ini kisah benar seorang jururawat yang saya kenali. Jam menunjukkan 3 petang dan beliau masih belum mengerjakan solat Zuhur. Sejurus, mendapat panggilan dari Matron untuk hadir ke segera ke pejabatnya, beliau lantas bergegas ingin ke sana.

"Kak Jihan (bukan nama sebenar) tak solat lagi kan? Solat la dulu."

"Tak boleh doktor. Matron dah panggil tu. Sekarang katanya. Tak boleh. Zohor panjang lagi, sampai 4.30petang, tapi Matron nak berjumpa sekarang."

Allahuakbar....

Sahabatku...

Jangan kau salah meletakkan rasa takut dan takjub keterlaluan pada manusia. Apalagi ternyata salah bila ketakutanmu itu buat kau membelakangkan Allah tanpa KAU sedar. Yakinlah, jika tanpa izinNYA, sesiapa pun tak mampu menyentuhmu. Dan yakinlah, rezeki itu dari DIA. Bukan dari sesiapa. Jagalah Allah, Allah menjagamu.

Sikap seperti ini seperti menjadi budaya turun temurun di hospital. Jarang sekali untuk saya berjumpa dengan ketua yang tidak berlagak ketua. Rata-ratanya saya bertemu dengan ketua yang begitu seronok dan asyik menjadi ketua. Suka sekali memberi arahan, suka sekali menyusahkan anak buah hanya kerana dia mahu dia dipuji oleh pihak atasan. Sedikit sekali kita berjumpa dengan ketua yang menjaga anak buahnya dengan kasih sayang. Bekerja bersama, sentiasa mempertahankan anak buahnya, sentiasa merendah diri dengan orang bawahan. Jarang. Susah sekali.

Dunia. Apa sangat yang mahu kau kejar sahabat? Pangkat? Kenamaan? Populariti? Pujian manusia? Berapa kali kau dah kecewa kerana ini? Berapa banyak kepuasan yang kau rasa? Berapa kali kau berjaya memenuhi ekspektasi manusia lain namun sekadar beberapa saat, langsung dilupa, dipandang sepi. Dan berapa kali kau dimaki hanya kerana salah yang sedikit?

Usah berlelah. Jika kau mahu bersungguh sekalipun, niatkanlah kerja kita ini sebagai ibadah. Sebagai semaian kita didunia sementara ini. Semoga hasilnya boleh kita tuai lumayan sekali untuk ke sana. Jangan dikejar dunia ini keterlaluan. Biarlah sekadar ia didalam genggamanmu, tidak bertapa dihatimu. Kerana dunia ini bila makin kau kejar, makin kau akan rasa kurang dan kurang. Kau akan rasa kosong dan kosong.

Ahhh...

Terlalu banyak yang nakku keluhkan. Kekadang marah sendiri pada diri. Selalu lupa arah tujuan. Selalu lupa setelah berkali-kali aku memohon petunjukMU. Jangan KAU biarkan kami sendiri walau sekerlipan mata kerana kami tidak mampu ALLAH.

Semoga hari esok lebih baik. Semoga esok lebih bersinar dan membahagiakan.

No comments:

Post a Comment