Thursday 2 January 2014

Wajah-wajah kesayangan beta

Inilah wajah-wajah kesayangan ibu. Wajah-wajah yang sentiasa mendorong ibu untuk terus perbaiki diri. Yang sentiasa membuat ibu mencari dan terus mencari ilmu Allah dan takkan sesekali berhenti.

Tubuh2 comel inilah amanah Allah untuk ibu dan ayah. Suatu masa dulu anak2 ibu lahir bagaikan kain putih yang menanti untuk dicorakkan. Dilukis dengan lukisan yang cantik dan menarik. Berjayakah ibu dan ayah? Mampukah ibu dan ayah? Mesti mampu. Ibu mahu kain2 putih ini menjadi sutera yang halus, cantik dan mahal harganya. Cantik dipandang tetapi sangat payah untuk diperolehi dan dimiliki.

Anak-anak ibu,
Besar harapan ibu agar kesayangan ibu ini membesar menjadi mereka yang bermanfaat untuk agama. Mereka yang berakhlak seperti akhlak Rasulullah, mereka yang disayangi oleh makhluk langit dan bumi. Sedari didalam kandungan lagi ibu sentiasa berdoa agar kesayangan ibu semuanya menjadi pembantu-pembantu agama Allah. Sentiasa berada dalam arus dakwah, demi syiar Islam.

Wahai yang ibu cintai,
Jalan dihadapan masih jauh. Namun rebung-rebung inilah yang akan ibu bentuk biar besar gagah menjadi buluh perindu yang gemersik alunan bunyinya. Yang bila didengari, sedap rasa hati. Gagah, yang bila dijadikan meriam, terus teguh berdiri. Benih2 ini ibu doakan agar menjadi pohon2 yang rendang, yang menghasilkan buah yang masak ranum, bila dibaling, mengembalikan buah yang manis ranum itu kepada si pembaling.

Anak-anak ibu,
Ibu masih terus melakar corak dikain putih itu. Akan ibu pastikan ibu akan terus melakar corak yang indah2 agar anak-anak ibu membesar menjadi insan yang berguna untuk agama.

Ya Allah,
Berilah aku petunjuk dan hidayahMu Ya Allah. Agar bisa aku dan suami mendidik anak2 ini mencintaiMu, mencintai KekasihMu dan sentiasa berjuang untuk agamaMu.

Semoga kita semua dapat berkumpul kembali di syurga sana.

Amin.

No comments:

Post a Comment