Friday 24 November 2017

Anak Bukan Piala

Its nearly end of year. And we can see mothers especially, love to share their children's flying colours results.

Alhamdulillah. Ramai ibu-ibu sahabat Fb saya dikurniakan anak yang cerdik pandai. Menjadi kebanggaan ibu dan ayah. Dan saya tumpang bangga dan gembira. Jauh disudut hati saya tertanya-tanya apakah formulanya. Yang baik kita pasti nak ikutkan.
Saya teringat seorang sahabat. Bukan sekadar sahabat Fb. Juga sahabat dialam realiti. Jadi sudah pasti saya mengenalinya begitu rapat sekali. Keluarganya, anak-anaknya.

Sahabat saya juga seorang ibu yang bangga dengan kejayaan salah seorang anaknya. Sering dihighlight dalam Fb. Disebut sebut selalu anak kebanggan ibu ayah didalam Fb. Memang sungguh, hebat sungguh akademik anak yang satu itu. Seorang lagi anak, kenakalannya sering dirungutkan sahabat saya itu pada saya. Jarang sekali disebut dan dikongsi cerita tentang anak ini didalam Fb. Sedang saya mengenalinya, saya jadi kasihan pada anak yang seorang ini. Kerana keakraban kami, saya nyatakan pendapat saya pada sahabat saya ini.

Bahawa anak-anak ini perlu sentiasa dibanggakan. Perlu tidak dibeza beza perhatian. Perlu ada kebaikan dan kelebihan yang kita ibu ayah perlu selalu highlight kan untuk membangun self-esteem mereka.

Jangan ingat mereka tidak punya rasa apa apa. Bila jelas perbezaan respon ibu ayah terhadap keputusan peperiksaan anak-anak. Ya, mungkin yang kurang baiknya itu memang malas, suka main tetapi itu bukan lesen kita ibu ayah untuk menghentamnya dengan kata-kata yang kita tak sedar memberi kesan dan sungguh berkesan dihati mereka. Maka merudumlah self-esteem mereka, kerana bagi mereka, usaha mereka sudah setara mungkin namun, masih belum beroleh keputusan yang baik. Raikanlah usaha mereka itu.

Siapa kita untuk menilai hasil dan memberi kesimpulan bahawaa hasil yang tidak baik itu adalah kerana usaha yang sangat tidak bersungguh. Walaupun ada benarnya tetapi bagaimana kita menyampaikannya kepada anak-anak kita?
Sedang Allah juga melihat usaha kita. Kegigihan kita dan dari situ diberi pahala, belas dan ihsan dariNYA. Jika hasil yang dilihat, pasti yang berjaya sahaja disayangi Allah sedang Allah bukan begitu.

2 orang anak saya sudah bersekolah. Tahun 4 dan Tahun 1. Memang, ada perbezaan pada keduanya dari segi akademik. Seorang sangat cemerlang dan sangat komited tentang belajar, kerja rumah dan pesanan guru. Seorang lagi juga masih dikelas yang bagus tetapi agak kurang cemerlang keputusannya, selalu kurang fokus didalam kelas.
Kami raikan kedua-duanya. Tahniah kerana kekalkan kecemerlangan. Tahniah kerana tunjukkan kemajuan. Ibu ayah bangga dengan kedua-duanya. Asalkan usaha dengan bersungguh-sungguh, hasil akhir itu Allah yang nak bagi. Jika rasa kita kurang cemerlang, jom kita tengok dimana kurang usaha kita. Terjaga tak solat kita? Perangai dengan ibu ayah pula bagaimana? Kelakuan kita dikelas bagaimana? Jika semua tadi telah kita buat sehabis mungkin, ibu ayah sudah cukup bangga, hanya kerana Allah kata belum lagi, DIA nak kita lebih berusaha.

Bagi yang sangat cemerlang, pasti perlu kita tunjukkan rasa bangga dan gembira. Juga perlu muhasabah. Lihat, perangai kita macam-macam pun Allah bagi berjaya. Dan sebagai orang Islam, ibu ayah mahu anak ibu ayah bukan sahaja hebat dalam akademik, lebih lagi akhlak dan sahsiah.
Peluk kedua-duanya. Dan adik kecil juga ibu ayah tak lupa. Adik tak sekolah lagi tapi ibu ayah suka sebab perangai adik baik, adik suka mengaji, cepat faham kalau ibu ayah cakap. Pelukan satu untuk adik.
Jauh disudut hati saya juga ingin berkongsi kejayaan cemerlang anak-anak. Tapi saya bimbang, ada yang akan bertanyakan anak-anak lain, tanpa sedar merobohkan self-esteem mereka. Dan saya bimbang satu hari Fb akan keluarkan balik perkongsian saya, bilamana yang kurang berjaya walaupun ia kisah lama, pasti menimbulkan kecewa.

Well parents out there. Saya tumpang bangga dengan kejayaan anak anak anda. Dan saya memuji kehebatan anda ibu ayah yang melahirkan anak-anak yang berjaya, apalagi jika semuanya berjaya dengan cemerlang didalam akademik. Saya kagum dan dalam diam saya follow Fb anda, cuba belajar dan belajar untuk jadi ibu ayah hebat macam anda.

Anak-anak permata keluarga. Kilauannya pasti tak sama. Ada yang serlah sekali kilau akademiknya, ada yang bersinar kilau akhlaknya. Ada yang berkilau terang bakat selain akademiknya. Gilaplah permata ini mengikut kilauan mereka. Agar tak pudar kerana salah kita sendiri.
Saya mohon maaf jika ada luahan pendapat saya ini membawa rasa tidak bersetuju dan puas hati dikalangan sahabat. Namun, segala yang baik sentiasa saya raikan dan jadikan teladan, pasti.




p/s
Untuk anak ibu ayah, jika satu hari post ini melintas di wall anak-anak, ketahuilah, we always proud of all of you. Always. Anugerah terindah dari Allah untuk ibu dan ayah. Alhamdulillah.
Lots of luv.

No comments:

Post a Comment