Monday 21 September 2015

Hiba Hati Seorang Ayah

Rutin lawatan kencing manis dan darah tinggi.

Pakcik kelihatan bersahaja. Riak muka tiada perasaan, seolah-olah kosong jiwanya.

Sambil memeriksa dan selesai menceritakan pakcik tentang keputusan darahnya saya bertanyakan dia.

"Pakcik tak sihat ke? Muka pakcik macam ada masalah".

Air mata seorang ayah terus mengalir. Pakcik baru sahaja kehilangan seorang anak. Anak pakcik meninggal, tanpa siapa pun dapat beritahu puncanya. Satu-satunya anak perempuan pakcik dan sangat rapat dengan pakcik.

Pakcik keluarkan telefon bimbitnya dan satu-satu discroll gambar allahyarhamah.

Saya tak terkata. Saya biarkan ayah itu melepaskan perasaannya. Mungkin ini kali pertama dia menitiskan air mata kerana katanya si isteri masih tidak dapat menerima suratan ini.
"Pakcik, biar apapun puncanya, ternyata Allah lebih sayangkan dia. Pasti arwah mahu pakcik dan makcik teruskan hidup dengan sihat dan bersemangat. Kita doakan dia semoga jadi kesayangan Allah, kita yang hidup ini kena terus dan terus cari redha Allah. Takpe pakcik, lepaskanlah hari ini. Saya faham. Sebab lepas ini pakcik kena kembali kuat untuk makcik".

Usai pakcik keluar dari bilik, saya tidak dapat menahan diri, saya menangis teresak-esak.

Maafkan saya pesakit-pesakit yang masih menunggu. Adakalanya saya tidak boleh melepaskan pesakit saya begitu sahaja. Saya bukan sahaja mahu badan mereka sihat, saya juga mahu hati dan jiwa mereka sihat.

Terima kasih Allah atas peluang-peluang ini. Seribu satu ibrah yang dapat kukutip untuk jadi pedoman aku terus mencari cintaMu

No comments:

Post a Comment