Saturday 14 May 2016

Qudrah Allah Mengatasi Segala Batasan Pengetahuan Kita : Hikmah

Assalamualaikum wbr

Saya ingin berkongsi sebuah cerita yang dikongsi oleh Ustaz Zamani semasa sessi Kuliah Tauhid bulanannya di Hospital Manjung.

Betapa Qudrah Allah itu melangkaui batas pemahaman kita. Bahawa tiada terlintas di keterbatasan kita tentang bagaimana Allah memudahkan kita untuk sesuatu walaupun teramat sukar rasanya bagi kita. Tentang bagaimana yang kita mahu tidak semestinya apa yang Allah rasa terbaik untuk kita begitu juga sebaliknya.

Ini kisah sepasang suami isteri yang telah berkahwin bertahun-tahun tetapi masih belum dikurniakan anak. Tiada salahnya si isteri, juga si suami, namun susunan takdir Allah itu penuh hikmah tersembunyi.

Sehinggalah si suami menyatakan ingin berkahwin lagi satu kerana menginginkan zuriat, dalam terpaksa si isteri memberi kebenaran. Namun, ada rasa kecewa, tidak senang, sedih dihatinya. Siapa yang tak sedih oii. Lalu diadukan rasa hati pada seorang sahabat, maka berkatalah sahabatnya, "Sabar...pasti ada hikmahnya".

Maka melentinglah si isteri. Apa hikmahnya jika hatinya terluka? Apa hikmahnya? Tetapi dalam ketidakpuasan hati, si isteri masih tercari-cari hikmahnya, namun tidak berjumpa.

Setelah beberapa lama, si suami dikurniakan cahaya mata bersama isteri keduanya. Alhamdulillah. Syukur tidak terkata si suami. Namun, semakin sedih, pilu, tertekan dan berdukacitalah isteri pertama tadi. Lalu tetap dinasihatkan oleh sahabatnya tadi, "Sabar...pasti ada hikmahnya.". Kerana perkataan ini, si isteri membentak kawannya. Rasa kecewa, terkilan dan sebagainya.

Namun dengan izin Allah, sesudah itu si isteri pertama akhirnya diizinkanNya untuk mengandung dan melahirkan anak. Namun alangkah sedih dan kecewanya kerana anak yang dilahirkan OKU. Semua urusan hidup anak ini terpaksa ibunya yang uruskan sehinggalah dewasa.

Apa kata sahabatnya tadi?

"Sabarlah...pasti ada hikmahnya."

Sungguh, si isteri tadi semakin tidak nampak hikmahnya. Sedikit tertanya kenapa ditakdirkan begitu hidupnya.

Sekarang si isteri sudah berumur 67 tahun. Suami, isteri muda dan sahabat yang selalu menasihatinya tadi semua telah meninggal dunia. Si ister tiada siapa melainkan anak OKU nya yang terlantar, yang makan pakai dan segala urusan diri perlu di bantu. Susah, sangat susah hidupnya. Namun, perancangan Allah itu sentiasa lebih baik dari perancangan kita.

Anak tiri hasil perkahwinan isteri kedua suaminya yang sempurna, tidak OKU, berasa amat simpati kepada adik OKU nya. Bersimpati kepada ibu tirinya yang sudah tua. Lalu dengan penuh ikhlas si anak ini sekarang menjaga ibu tiri dan adik tirinya yang OKU.

Subhanallah. Astaghfirullah. Makcik tadi tersedar. Lama...setelah lama baru hikmah itu dia nampak.

Kalau ditakdirkan suaminya tidak berkahwin lain dan mempunyai anak, siapalah yang akan membela dan menjaganya nanti

Kalau dia tidak ditakdirkan ada anak OKU, mungkin si anak tiri tidak sekali mahu simpati membantu

Lihat...indah bukan perancangan Allah. Allah memberikan kita dengan perbagai ujian kerana DIA mahu menyediakan kita dengan pelbagai ganjaran dan kemudahan. Tugas kita, bersabar dan bersangka baiklah dengan ALLAH.

Yakinlah bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu semuanya dengan izinnya. Sama ada saat kamu rasa di atas, atau saat kamu rasa dibawah, ditekan dan dipijak apalagi saat kamu bahagia, berjaya dan gembira.

Alhamdulillah. Terima kasih wahai ALLAH.

Bimbinglah kami untuk lebih mendekatiMU.
Ampunilah dosa kami Ya ALLAH.

1 comment:

  1. Subhanallah.indahnya perancangan Allah.

    Benar.setiap kejadian pasti ada hikmahnya.

    ReplyDelete