Monday 31 March 2014

Resume Untuk Allah

Assalamualaikum

Hari ini saya banyak berfikir. Berfikir tentang masa yang dah berlalu, berfikir tentang masa hadapan yang belum pasti. Teringat jika amalan-amalan yang telah lalu tidak diterima, apa yang akan saya bawa untuk dipersembahkan pada Allah nanti.

Usai solat Zohor tadi, saya termenung sejenak. Mengenangkan amal yang sedikit tapi sangat berkehendakkan kasih sayang dan syurga Allah. Mengenangkan kemungkinan kita 'pulang' dengan tangan kosong mengadap Sang Pencipta. Alangkah malu dan kecewanya.

Saya cuba membayangkan jika saya isi resume untuk bekerja dengan kerajaan Allah. Mengeluh sendiri..kerana saya lebih mengenali diri ini dari yang lain, kecuali Dia, Sang Pencipta. Bergetar perasaan didalam diri ini kerana takut, gerun, segalanya berbaur.

Kriteria apakah yang melayakkan kita berada disisiNya? Kelayakan apakah yang kita mahu 'isi' untuk memohon tempat disisiNya?

Solat yang diringankan? Dilengah2kan? Tunggang terbalik tanpa penghayatan? Jasad dan roh tak bersatu...

Kita lebih bersegera jika diajak oleh manusia sedangkan seruan Allah 5 kali sehari semalam kita pandang ringan. Panggilan menuju Allah kita kebelakangkan dek kerana kesibukan dunia yang memang tak akan habis.

Lalu, tak dapat saya membayangkan bagaimanakah 'resume' saya nanti dan yang lebih menggerunkan, bagaimanakah penerimaan Tuan punya Kerajaan Langit dan Bumi ini? Sememangnya jauh dari layak untuk saya menumpang walau sekecil-kecil 'jawatan' di kerajaan Allah.

Tekad, resume ini perlu saya sempurnakan. Kerana saya mahu merebut 'jawatan tertinggi' dalam kerajaan Allah. Saya mahu dekat dengan Raja segala Raja.

InsyaAllah
Terimalah Ya Allah

Resumeku untukMu

No comments:

Post a Comment