Sunday 10 August 2014

Kita Merancang, Allah Menentukan : Bila Bapak Jatuh Sakit

Jam menunjukkan 2 pagi. Baru lepas makan malam dengan mak di dapur sesudah pulang dari KPJ Ipoh.

2 hari yang hectic untuk kami sekeluarga. Apalagi teramatla hecticnya untuk bapak. Mengimbau kembali jam 11.30 pagi 7 Ogos 2014 (2 hari lepas) bila aku dapat panggilan bapak. Kata bapak dia di Jabatan Kecemasan Hospital Ipoh, sakit dada. Aku terus pening, bernafas pun tak lepas rasanya. Jika di Hospital Manjung, senang segera aku ke sana. Ditambah dengan patah tapak kakiku yang masih sakit ini. Ya Allah, aku harus segera pulang. Pantas, aku buat panggilan pada abang. Aku katakan pada abang, aku mahu segera pulang ke Ipoh, bimbang dengan keadaan bapak dan aku pasti bapak juga memerlukanku.

Tengahari, abang dan Syukri pulang, terus kami ke Hospital Ipoh. Sesaknya Hospital Ipoh. Manusia dengan pelbagai penyakit dan kesakitan memenuhi Jabatan Kecemasan. Kami tak dibenarkan masuk beramai-ramai. Aku pergi dapatkan bapak. Ku lihat bapak terduduk di atas katil di satu sudut di dalam Jabatan Kecemasan. Ketika itu jam sudah menunjukkan hampir pukul 5 petang. Bayangkan, sejak 10.30 pagi bapak disitu, tanpa sebarang intervensi. Bila ditanya, wad masih penuh. Aku teringat pula jiran pada staffku di Hospital Manjung. Katanya suaminya salah seorang Doktor Pakar di Jabatan Kecemasan. Tanpa berlengah kudail nombor telefonnya dan bertanyakan hal bapak. Sepanjang pengetahuan Doktor Hasri (bukan nama sebenar) bapak hanya mendapat serangan ringan. Alhamdulillah, sedikit lega. Namun jauh disudut hati aku sangat kasihan melihat bapak gelisah berjam-jam tunggu di Jabatan Kecemasan dan tiada seorang pun doktor lain yang datang menjenguk selepas kali pertama jam 10.30 pagi tadi.

Aku mula terfikir. Lebih baik bawa bapak keluar, masuk ke hospital swasta, pasti lebih selesa keadaannya, InsyaAllah. Nak dimarah, aku amat faham keadaannya di Hospital Ipoh ni. Sesak dan penuh sentiasa. Dan sekarang aku faham kenapa sesetengah keluarga lebih sanggup berhabis duit membawa keluar ahli keluarga yang sakit dihospital kerajaan untuk ke hospital swasta. Baru aku faham. Segala-galanya untuk yang tersayang. Aku berbincang dengan adik-adik. Selaku anak sulung, aku membuat keputusan untuk membawa bapak ke hospital swasta. Ku tanyakan pada adik-adik berapa simpanan yang mereka ada, takut-takut jika perlu diguna untuk uruskan kemasukan bapak ke hospital swasta nanti. Alhamdulillah, aku mempunyai adik-adik yang sangat baik. Adik iparku juga sanggup mengeluarkan duitnya untuk kesihatan dan keselesaan bapak. Pun terharu, air mata ku tahan kerana tidak mahu bapak lebih bimbang. Mak ku lihat tabah dan tenang. Walaupun hakikatnya aku kenal raut wajah itu, tapi kami semua harus kuat demi bapak. Aku membuat beberapa panggilan ke beberapa hospital swasta disekitar Ipoh. Hospital Fatimah, fully bed. Hospital Pantai, fully bed. KPJ Ipoh masih ada tapi memerlukan RM4k sebagai deposit. Agak mahal untuk kami sekeluarga. Akhirnya aku berjaya menghubungi Perak Medical Centre, deposit hanya RM2k. Alhamdulillah.

Kami pun terpaksa membawa keluar bapak. Demi keselesaan. Walaupun ketika itu sudah jam 8 malam, bapak baru sahaja berjaya dimasukkan ke dalam wad kerana wad baru sahaja kosong. Kebetulan, ada kawan bekerja diwad itu, saya terus menelefon Dr Tasnim dan menyatakan hasrat kami sekeluarga untuk membawa bapak keluar. Saya jelaskan pada Tasnim, dia faham. Saya tidak mahu pihak wad salah faham dengan tindakan kami membawa keluar bapak. Bukan kerana tidak puas hati, tetapi kami mahukan yang terbaik untuk bapak. Kata bapak, nak solat pun susah. Urusan dibuat, setelah semua dokumentasi didalam wad siap, kami pun membawa bapak ke PMC.

Kami tiba di PMC jam 10pm lebih. Ku lihat bapak dah keletihan. Kecil sahaja hospitalnya tapi mempunyai physician, general surgoen. Agak mampu untuk kita bayar berbanding hospital swasta yang lain. Teringat aku baru-baru ini sepupu baru sahaja discharge dari PMC, pembedahan appendicitis hanya RM3k berbanding RM6k di KPJ. Sudah tentu, jika lakukannya di hospital kerajaan, jauh lebih murah. Di PMC, kami perlu menunggu doktor tiba. Dalam sejam lebih, kerana doktor mahu keputusan darah siap baru harus memanggil dia. Baru aku perasan, tiada keputusan 'Cardiac Enzyme' disertakan bersama. Sekali lagi aku message Dr Hasri, Pakar di Hospital Ipoh tadi. Terkejut dan menyedihkan, rupanya bapak bukan terkena serangan ringan. Tetapi agak serius. Tahap enzim jantung bapak meningkat. Itu menunjukkan bukan serangan jantung biasa. Bapak tiada darah tinggi, bukan perokok, bapak juga pengamal gaya hidup sihat. Jarang sekali makan berlebihan, rajin bersenam dan menjaga kesihatan badan. Tapi, jika Allah kata kun fayakun, tiada yang mustahil bagiNya. Tambahan arwah wan meninggal kerana serangan jantung. Itu sudah cukup kuat mengaitkan bapak dengan sakit jantung. Ok, bertenang Nurul. Aku harus tenangkan diri. Jika di hospital tempat aku bekerja, NSTEMI masih dirawat secara konservatif, maksudnya dengan ubat-ubatan. Bila Dr Ngo (bukan nama sebenar) tiba, dia kelihatan agak bimbang melihat keputusan darah bapak. Aku amat faham, jika diswasta sudah tentu mereka mahu terus melakukan angiogram dan kemudian angioplasty jika perlu. Saya terangkan pada Dr Ngo, saya sangat faham situasi bapak dan buat masa ini saya mahu bapak meneruskan rawatan konservatif dan jika perlu, barulah kita buat ikut keperluan. Dr Ngo menerangkan dengan teliti kepada semua dan aku perlu menandatangani pengesahan bahawa kami tidak mahu intervensi pembedahan buat masa sekarang. Prosedur biasa untuk kami dihospital. Aku juga selalu lakukannya dulu jika pesakit enggan mengikut rawatan yang kami cadangkan.

Alhamdulillah, masuk ke bilik single di PMC, bapak nampak sangat selesa. Ubat dimulakan. Bapak perlu 24 jam dengan drip. Cuma ketika solat bapak akan cabut untuk sementara waktu. Hampir pukul 12 tengah malam ketika itu. Kami pastikan bapak ok, kami pulang kerumah mak bapak di Taman Meru, mak tinggal menemani bapak. Mak pun dapat katil yang selesa. Kami betul-betul lega dan bersyukur. Duit boleh dicari, tapi mak bapak kita 1 sahaja dalam dunia ni.

Esoknya, selesai sarapan, kami terus ke tempat bapak. Siti dan Zuwairi sekeluarga ambil shift petang. Nampak bapak sihat tapi kata bapak ada sikit-sikit rasa sakit dada tapi lebih baik dari semalam. Ramai yang datang mengunjungi bapak. Bapak memang disayangi ramai. Kawan-kawan sekerja, jemaah masjid, jiran tetangga, saudara mara. Tetapi aku kurang bersetuju menerima kunjungan berterusan begitu. Bapak tiada peluang untuk betul-betul berehat. Jika dihospital kerajaan, pesakit CCU tidak dibenarkan melawat. Hanya waris terdekat sahaja. Apa boleh aku buat, demi menjaga hati orang yang lebih tua. Cuma aku terus berdoa agar bapak terus sihat dan boleh cepat keluar dari hospital.

Petangnya.....kisah ini masih panjang...pastinya berakhir dengan baik tetapi perjalanannya agak sukar untuk kami sekeluarga. Tiada tangisan demi memberi semangat pada bapak...nantikan sambungannya...

No comments:

Post a Comment